Jika dikatakan bahawa untuk menilai seseorang itu bukan daripada luarannya ramai juga yang bersetuju dengan kenyataan itu, akan tetapi untuk mengetahui budi sebenar seseorang itu adalah melalui sikap atau perangai yang lahir dari dalam dirinya, betulkah?. Bagaimanapun saya sendiri kurang jelas lagi dalam perkara ini kerana saya sendiri tidak pandai dalam hal menilai seseorang. Saya sendiri juga masih dalam serba kekurangan dan mengambil sahaja ikhtibar dengan perkara-perkara berkaitan yang pernah dilalui. Hari ini saya ingin bawakan satu lagi kisah mengenai budi bahasa yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia ini.
Pada suatu hari saya baru pulang dari rumah rakan dengan menaiki motor pada waktu malam, ketika saya melalui jalan dihadapan yang masih berhampiran dengan rumah rakan saya tiba-tiba ada dua orang perempuan melintas jalan secara tiba-tiba tanpa melihat saya yang semakin hampir dengan mereka. Nasib baik menyebelahi kerana saya sempat mengelakkan motor saya daripada terlanggar perempuan-perempuan tersebut. Namun tahukah kamu apakah reaksi dari mereka?. Selepas saya berjaya mengelak dan melepasi mereka, dengan lantang suara salah seorang dari mereka menjerit 'Woi! bongok ke? tak nampak orang? sepak tau la'. Dengan hati yang panas dan marah saya menghentikan motor dan datang hampir kepada perempuan-perempuan tersebut sambil saya katakan 'siapa yang salah? aku atau korang yang melintas tak tengok dulu ada kenderaan ke tidak'. Tanpa berkata apa-apa mereka diam dan terus berlalu dengan langkah lebih cepat. Sempat juga saya lihat wajah kedua-dua wanita itu, ayu, cantik tapi sedihnya cantik pada luaran sahaja, entah kemana pula perginya kecantikan budi bahasa mereka.
No comments:
Post a Comment