Monday 30 April 2012

PERANCANGAN BAHASA

Kebanyakan tugas pengembangan dan pembinaan bahasa Melayu (BM) ditanggung oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), badan perancangan bahasa yang telah ditubuhkan pada tahun 1956. F.X. Karam (1974) menganggap DBP sebagai satu badan yang menjalankan atau mengawasi tiga aktiviti perancangan bahasa yang berkaitan, iaitu perancangan, pelaksanaan, dan penilaian. Pada peringkat pelaksanaan, kegiatan-kegiatannya ialah yang terlibat dengan bahasa itu sendiri, iaitu penentuan norma, kondifikasi norma melalui sistem tulisan, penyusunan tatabahasa dan kamus (teknikal dan bukan teknikal) dan penyebaran norma-norma ini kepada pengguna-pengguna. Satu tinjauan sepintas lalu akan kegiatan-kegiatan DBP dapat menggambarkan kegiatan-kegiatan yang telah dijalankan.


Konsep perancangan bahasa
Menurut Haugan (1972:287), perancangan bahasa ialah aktiviti normatif sesebuah akademi atau jawatankuasa bahasa, semua bentuk aktiviti yang dikenal nama pemupukan bahasa (language cultivation) dan semua cadangan yang menuju kea rah reformasi bahasa atau penyeragaman.


Menurut Rubin & Jernudd (1971), perancangan bahasa meliputi kegiatan-kegiatan yang membawa perubahan kepada bahasa yang ‘dirancangkan oleh badan-badan yang ditubuhkan khas untuk tujuan-tujuan ini atau yang diberikan mandat untuk menjalankan tugas-tugas ini.’(Ham. xvi). Badan-badan ini dinamakan badan perancangan bahasa.


Tujuan penubuhan DBP
Di Malaysia, badan yang penting dalam perancangan bahasa ialah DBP yang ditubuhkan sebagai satu jabatan dalam Kementerian Pendidikan pada tahun 1956. Di awal penubuhan DBP, badan ini bergelar Balai Pustaka, namun atas cadangan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III, namanya diubah kepada namanya sekarang DBP. Pada tahun 1959, melalui Akta Parlimen, DBP berubah menjadi sebuah perbadanan.


Tujuan utama penubuhan DBP ialah untuk memupuk dan memperkaya BM melalui penyelidikan, penerbitan, dan penyebaran bahan-bahan dalam BM. Sejak lebih 30 tahun penubuhannya, banyak kemajuan telah dicapai. Antara aktiviti yang telah dilakukan DBP termasuklah :

1. Yang bersifat mempopularkan BM
Aktiviti-aktiviti ini dijalankan pada peringkat awal penubuhannya dan bertujuan untuk memperkenalkan kebolehan dan kemampuan BM sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar ilmu pengetahuan.


2. Pemodenan bahasa
Dalam bidang ini termasuklah kegiatan penyelidikan dan penyediaan aspek-aspek bahasa yang bertujuan untuk melengkapkan BM sesuai dengan tugas-tugas baharunya. Aktiviti yang paling Berjaya pemodenan perbendaharaan kata, iaitu penciptaan istilah-istilah baru. Kegiatan-kegiatan lain ialah penyediaan kamus, buku-buku teks, dan bahan-bahan bacaan termasuklah penghasilan majalah-majalah dan risalah tentang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan.


3. Penyeragaman bahasa
DBP cemerlang menjayakan penyelesaian masalah ejaan, terutama tercpainya ejaan bersama Melayu-Indonesia pada tahun 1972. Aspek-aspek lain ialah penyeragaman tatabahasa dan sebutan.


4. Pemupukan kesusasteraan
DBP berfungsi sebagai sumber penghasilan dan penyebaran bahan-bahan kesuasasteraan.


5. Penerbitan
DBP mengadakan bahan bacaan, terutama buku-buku teks untuk institusi pengajian. DBP turut menerbitkan majalah yang bermutu dan mendapat sambutan.


Laporan Tahunan 1986 :


a) Pembinaan dan pengembangan bahasa
Ini dicapai melalui kegiatan dalam bidang-bidang seperti penyelidikan, peristilahan, perkamusan, dan pelaksanaan.


Dalam bidang penyelidikan, aspek-aspek yang dikaji ialah korpus bahasa, kaji selidik pemasyarakatan bahasa, pembinaan pangkalan data bahasa kebangsaan dan penyusunan dan penulisan sejarah bahasa Melayu.


Dalam bidang peristilahan, matlamat adalah untuk membina dan memperkaya peristilahan Melayu dan menyebarkan penggunaannya pada peringkat kebangsaan dan rantau Asean. Contoh MABBIM.


Bahagian perkamusan menerbitkan pelbagai jenis kamus yang dapat mencerminkan kedudukan perbendaharaan kata bahasa Melayu. Pada tahun 1986, DBP terlibat dalam usaha menerbitkan lima buah kamu, iaitu Kamus Inggeris-Melayu, Kamus Pelajar Bahasa Malaysia, Kamus Berilustrasi Bahasa Malaysia, Kamus Ilmu Sains Am, dan tambahan kepada Kamus Dewan.


Unit pelaksanaan Bahasa Kebangsaan bertujuan meningkatkan taraf penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu di sector awam, sector pendidikan, media massa, dan masyarakat umum. Antara aktiviti yang dilakukan ialah ceramah, kursus, penyemakan, dan penyebaran maklumat.


b) Pembinaan dan pengembangan sastera
Pada tahun 1986, tiga projek baru dimulakan, iaitu Kumpulan Pantun Melayu, Malaysia Dalam Puisi, dan Panduan Teks Melayu Klasik. Terdapat juga Glosari Istilah Kesusasteraan, Wajah (Biografi Penulis) (edisi kedua), Kaji Selidik Pembaca Sastera, Konsep dan Pendekatan Sastera, penerbitan novel-novel Melayu sebelum Perang Dunia Ke-2, Sejarah Kesusasteraan Melayu II, dan Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik.


DBP juga memperkenalkan Anugerah Sastera Negara, Hadiah Sastera Malaysia, Penulis Tamu DBP, Kelab Sastera, ceramah dan bengkel serta kegiatan bertaraf antarabangsa seperti Pengucapan Puisi Kuala Lumpur.


c) Penebitan buku dan majalah
Pada tahun 1986, 376 judul buku berjaya diterbitkan, iaitu 204 judul baru dan 172 judul yang dicetak semula. Pembahagian judul dibahagi kepada bidang bahasa 48 (27 buah), sastera 142 (75 buah), sains 74 (41 baru), kemanusiaan 67 (43 baru), agama/baru 29 (11 baru), dan seni dan budaya 16 (7 baru).


Dalam penerbitan majalah dan jurnal, DBP meneruskan penerbitan lima buah majalah dan sebuah jurnal pada setiap bulan. Antara majalah yang diterbitkan DBP ialah Dewan Masyarakat 50,000, Dewan Sastera 4,000, Dewan Budaya 4,000, Dewan Siswa 13,000, Dewan Pelajar 36,000, dan jurnal Dewan Bahasa 3000.


Bahagian penerbitan Am juga mengadakan program pembangunan penerbitan, antaranya Bantuan Dermacipta, Minggu Remaja, dan Minggu Kawanku Buku.

No comments:

Post a Comment