Tuesday, 17 April 2012

Kopek

Perkataan "kopek" ini bagi orang pantai barat mengikut kefahaman kami ialah mengupas atau membuka sesuatu . Menurut kefahaman saya, untuk golongan Utara pula menganggap "kopek "sebagai dompet atau pundi-pundi wang dan bagi masyarakat pantai Timur pula menganggap "kopek" sebagai suatu perkataan yang negatif dan sensitif bagi kaum wanita iaitu buah dada. Dapatkah kita bayangkan bahawa permaknaan yang dibawa oleh dialek-dialek ini memberikan suatu pertentangan atau kekangan dalam interaksi sesama manusia, lebih-lebih lagi yang datangnya dari pelusuk negeri yang berbeza. Perkara ini sudah berlaku menerusi rakan saya sendiri yang saya baca melalui blognya.

Situasi berlaku seperti contoh dibawah;

Dila merupakan rakan satu kuliah Ecah dan Fairus yang berasal dari Kedah. Manakala Ecah dan Fairus pula berasal dari Kelantan. Dila ingin meminta dompetnya kepada Ecah dengan menyebut perkataan "kopek" lalu dia ditertawakan oleh kedua-dua rakannya itu.

Dila      :   Ecah, bak kopek aku sini. Aku nak ambil wang.
Ecah    :   Kopek??!! Hahahhaa....

Perkataan "kopek" yang memberikan tiga makna berbeza ini agak menjejaskan interaksi antara sesama manusia, khususnya bagi mereka yang bergaul dengan rakan yang datangnya dari pelbagai negeri. Contohnya  mereka yang hidup di Universiti, sudah tentu pergaulan mereka bukan dari satu negeri dan daerah sahaja. Permaknaan ketiga-tiga yang dibawa ini telah diakui oleh Kamus Dewan sendiri iaitu dalam edisi yang keempat. muka surat 821. Pada pendapat saya tidakkah lebih elok sekiranya perkataan "kopek" ini dengan persetujuan ramai, diletakkan dalam satu maksud sahaja, mungkin ini tidak menjejaskan interaksi antara penutur bahasa Melayu jati.

Monday, 16 April 2012

CAKAP LUAR

Pagi tadi saya telah hadir ke kelas amali untuk lesen motor. Tidaklah seperti yang saya sangkakan bahawa sayalah orang yang paling lambat memperoleh lesen dalam usia sebegini, tetapi apabila sampai disana barulah saya sedari bahawa masih ramai lagi yang baru mendaftarkan diri sebagai calon untuk memperoleh lesen memandu. Malahan ada yang lebih tua daripada saya juga ada. Walau bagaimanapun, perkara yang saya ingin ceritakan disini ialah mengenai kenalan-kenalan baru yang saya jumpa disana. Saya sememangnya sudah tidak hairan sekiranya seseorang yang baru saya kenali itu berasal dari negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan dan terengganu, dan kebanyakannya yang saya kenali ialah berasal dari kelantan kerana di UPSI sememangnya golongan mereka sungguh ramai.

        Setelah selesai kelas amali kami diminta menunggu di luar pejabat untuk mendaftar nama sebelum meninggalkan tempat tersebut. Sementara menunggu itulah saya telah mengenali beberapa orang dan antaranya berasal dari kelantan. Perkara yang membuatkan saya terfikir sejenak adalah ramai juga dalam kalangan mereka yang fasih untuk bercakap Bahasa Melayu Baku atau yang disebutkan oleh mereka 'cakap luar'. 'Cakap luar' bermakna mereka bertutur bukan dalam dialek mereka sendiri tetapi menggunakan Bahasa Melayu Baku. Sebelum ini juga telah saya jumpai beberapa orang yang fasih untuk bercakap luar dan antaranya ialah golongan perempuan sahaja, lelaki sangat sukar saya temui yang boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa Melayu baku, kebayakannya kaum lelaki kelantan ini boleh bercakap dalam bahasa Melayu baku tetapi lenggok atau nada dialek kelantan mereka masih kelihatan jelas serta bercampur-campur kosa kata yang digunakan. Keadaan ini jelas ditunjukkan oleh beberapa rakan saya disini. Inilah menjadi persoalan saya bahawa mengapa ada ramai kaum wanita kelantan mampu bercakap luar dengan lenggok bahasa baku yang betul tanpa bercampur-aduk dengan lenggok bahasa dan dialek kelantannya. Berdasarkan pengalaman saya mengenali orang kelantan ini, sememangnya perbezaan antara kaum lelaki dan kaum perempuan mereka adalah dari segi menguasai bahasa luar dari dialek mereka. Golongan lelaki kelantan sangat sukar untuk dikikis dialek mereka walaupun sudah bertahun duduk dan bercampur dengan golongan masyarakat dari daerah pantai barat. Lelaki kelantan ini sangat menebal jati diri mereka sebagai 'anok klate'.

Friday, 6 April 2012

Selalu

Hari ini saya ingin menbicarakan berkenaan suatu perbandingan lagi. Kali ini ialah berkenaan dengan perkataan "selalu". Kenapa perkataan ini yang menjadi tumpuan? biasa sahaja perkataan itu bukan? Namun, pada saya yang mengenali rakan yang asalnya terdiri daripada pelbagai sudut negeri sudah tentulah mempunyai pelbagai loghat masing-masing, terutamanya dari negeri Kelantan, terlalu banyak kosa katanya yang jauh berbeza dengan bahasa Melayu Baku, begitupun dengan dialek saya, Selangor, sehinggakan saya "tercengang" dengan percakapan mereka. Perkataan "selalu" tampaknya tidaklah berbeza kosa katanya dengan bahasa Melayu Baku malah, Bahasa Melayu Baku juga menggunakan perkataan "selalu" yang membawa maksud sentiasa, selamanya, sepanjang masa, kerap, dan acap kali. Ini merupakan perkataan yang dirujuk menerusi Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1418). Bagi dialek Kelantan, "selalu" membawa erti sekarang atau lansung.

Contoh:
  •              Saya selalu berkunjung ke rumahnya.   (B.M Baku)
  •              Mu keno mari sini selalu.                      (D.Kelantan)

Thursday, 5 April 2012

Bahasa Basahan


Pada hari ini aku dan rakan-rakan akan menonton Pengajaran Mikro yang akan dikendalikan oleh rakan-rakan sendiri. Selain itu, kami juga dikehendaki memberi komen tentang pengajaran yang dikendalikan oleh rakan-rakan. Kebanyakan daripada kami gemar menggunakan bahasa basahan semasa mengutarakan komen atau pun pandangan masing-masing. Bahasa basahan merupakan bahasa yang terdiri daripada bahasa pasar dan bahasa harian. Pensyarah kami, iaitu Encik Zulkifli Osman pernah menegur kami oleh kerana gemar menggunakan bahasa basahan di dalam kuliah.
Contohnya: 
                   “ Cikgu, kitaorang nak tengok lagi video tu..”
                   “ Ok, kat  sini hari ini cikgu nak ajar kamu tentang pencemaran..”

Pendidik Bahasa Melayu tidak sepatutnya menggunakan bahasa basahan ketika mengajar. Bakal guru Bahasa Melayu juga seharusnya menggunakan bahasa Melayu yang betul ketika mengajar, agar pelajar lebih menghormati dan memandang tinggi seseorang guru tersebut. Pendedahan awal dalam menggunakan bahasa Melayu yang betul perlu diberikan kepada bakal guru, agar mereka tidak berasa kekok pada kemudian hari.

Wednesday, 4 April 2012

Cantik tapi buruk!


Jika dikatakan bahawa untuk menilai seseorang itu bukan daripada luarannya ramai juga yang bersetuju dengan kenyataan itu, akan tetapi untuk mengetahui budi sebenar seseorang itu adalah melalui sikap atau perangai yang lahir dari dalam dirinya, betulkah?. Bagaimanapun saya sendiri kurang jelas lagi dalam perkara ini kerana saya sendiri tidak pandai dalam hal menilai seseorang. Saya sendiri juga masih dalam serba kekurangan dan mengambil sahaja ikhtibar dengan perkara-perkara berkaitan yang pernah dilalui. Hari ini saya ingin bawakan satu lagi kisah mengenai budi bahasa yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia ini.

            Pada suatu hari saya baru pulang dari rumah rakan dengan menaiki motor pada waktu malam, ketika saya melalui jalan dihadapan yang masih berhampiran dengan rumah rakan saya tiba-tiba ada dua orang perempuan melintas jalan secara tiba-tiba tanpa melihat saya yang semakin hampir dengan mereka. Nasib baik menyebelahi kerana saya sempat mengelakkan motor saya daripada terlanggar perempuan-perempuan tersebut. Namun tahukah kamu apakah reaksi dari mereka?. Selepas saya berjaya mengelak dan melepasi mereka, dengan lantang suara salah seorang dari mereka menjerit 'Woi! bongok ke? tak nampak orang? sepak tau la'. Dengan hati yang panas dan marah saya menghentikan motor dan datang hampir kepada perempuan-perempuan tersebut sambil saya katakan 'siapa yang salah? aku atau korang yang melintas tak tengok dulu ada kenderaan ke tidak'. Tanpa berkata apa-apa mereka diam dan terus berlalu dengan langkah lebih cepat. Sempat juga saya lihat wajah kedua-dua wanita itu, ayu, cantik tapi sedihnya cantik pada luaran sahaja, entah kemana pula perginya kecantikan budi bahasa mereka.

Tuesday, 3 April 2012

Budaya kita wajah kita!



Budi bahasa merujuk kepada tutur kata, kelakuan, sopan santun dan tatatertib, akal kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan tercantum dalam kata-kata mulia dengan kata lain, setiap gerak laku, tutur kata, tata hidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain. Seperti yang diketahui umum bahawa sikap berbudi bahasa adalah suatu amalan yang sinonim dengan budaya masyarakat Melayu di Malaysia, menghormati orang lain, menjaga tutur kata dan berhati-hati ketika berkomunikasi dengan seseorang. Namun, hal ini sememangnya semakin pudar pada era kini, ramai masyarakat Melayu di Malaysia tidak lagi menjaga tutur adap mereka ketika berkomunikasi dengan orang lain.

      Dalam hal ini, ingin saya ketengahkan sikap seorang pelayan disebuah kedai makan yang terdapat berhampiran dengan kolej kediaman yang pernah saya diami ketika berada semester satu hingga semester empat. Saya dan rakan-rakan lain hampir setiap hari singgah di kedai tersebut apabila waktu malam, sehinggalah pada suatu hari ada seorang pemuda kira-kira baru seminggu bekerja sebagai pelayan di kedai tersebut datang untuk meminta pesanan makanan dan minuman dari kami. Sungguh menyakitkan hati apabila pemuda tersebut meminta pesanan dengan menunjukkan raut wajahnya yang bengis, tidak senyum, malahan melihat kami pun tidak. Pemuda itu hanya memalingkan mukanya keatas, kebawah, kekiri, dan kekanan tanpa melihat kami yang berada dihadapannya.

           Sungguh kecewa dengan sikap masyarakat kini, lebih-lebih lagi kami sebagai pelanggan seharusnya dilayan dengan lebih elok. Walaupun tidak mahu mengeluarkan sebarang tutur kata, bagi saya dengan melemparkan satu senyuman sudah memadai, dan tidaklah menunjukkan mukanya yang bengis itu. Wlau bagaimanapun, Seharusnya mereka lebih tahu akan menghormati pelanggan dan bagaimana caranya untuk menghadapi pelbagai karenah pelanggan yang datang, hal ini akan memberi kesan positif terhadap potensi kemajuan perniagaan mereka sendiri. Ingatlah wahai masyarakatku, budi bahasa budaya kita! dan budaya kita wajah kita! inginkah kita paparkan wajah kita yang seburuk itu dimata dunia.

Monday, 2 April 2012

LAGU BAHASA

1) BIDALAN

Bidalan adalah susunan bahasa yang menarik atau bahasa kiasan yang digunakan untuk melahirkan fikiran yang tajam, tepat, mengandungi perbandingan, teladan, pengajaran, nasihat dan kata-kata hikmat.

Contoh: 'Ada udang disebalik batu' - mempunyai niat sesuatu disebalik pertolongan yang diberikan.

2) PEPATAH-PETITIH

Pepatah-petitih adalah sebahagian daripada kata pusaka. Pepatah-petitih merupakan serangkaian ucapan pendek dengan bahasa klasik Minangkabau, yang mengandung pengertian dalam dan luas yang mencakupi setiap aspek kehidupan dalam masyarakat.

Contoh:       'Anak ikan dimakan ikan,
                   Gadang ditabek anak tenggiri.
                   Ameh bukan perakpun bukan,
                   Budi saketek rang haragoi' 

- Hubungan yang erat sesama manusia bukan karena emas dan perak, tetapi lebih diikat budi yang baik.

3) PERBILANGAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Perbilangan membawa maksud peribahasa yang melahirkan kata-kata yang sudah menjadi seperti peraturan atau undang-undang atau nasihat yang dapat dijadikan pegangan. Perbilangan adat merupakan susunan adat dalam bentuk puisi(puisi adat) yang mencerita dan menerangkan sesuatu dan berasal daripada masyarakat Melayu Minangkabau (adat/peraturan).

Contoh:  Raja menobat di dalam alam,
              Penghulu menobat di dalam luak,
              Lembaga menobat di dalam lingkungannya,
              Ibu bapa menobat pada anak buahnya,
              Orang banyak menobat di dalam terataknya.

- Konsep pemerintahan perbilangan adat yang menyatakan dengan jelas susunan pemerintahan adalah
  mengikut peringkat-peringkat berikut, iaitu dari peringkat rendah kepada peringkat tertinggi.


4) GURINDAM

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, gurindam ialah bentuk puisi yang terdiri daripada dua baris,berisi dengan berbagai-bagai pengajaran. Gurindam terdiri daripada dua baris ayat yang rima akhirnya sama. Dalam kedua-dua baris ayat itu tersimpul satu fikiran lengkap berupa nasihat. Menurut Za'ba,1962 di dalam karyanya Ilmu mengarang Melayu, perkataan gurindam itu berasal daripada bahasa Sanskrit menerusi bahasa Tamil. Ertinya biasa di fahamkan rangkap yang telah menjadi bidalan atau sebutan biasa pada orang ramai ataupun sesuatu pepatah berangkap yang disebutkan berpadanan dengan tempatnya. Selain itu, gurindam adalah padat dan bernas. Ianya dihasilkan sebagai bahan nyanyian, jenaka, gurau senda dan sindiran.


Contoh: Barang siapa tiada memegang agama,
             sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.

             Barang siapa mengenal yang empat,
             maka yaitulah orang yang makrifat.

             Barang siapa mengenal Allah,
             suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.

             Barang siapa mengenal diri,
             maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.

             Barang siapa mengenal dunia,
             tahulah ia barang yang terperdaya.

             Barang siapa mengenal akhirat,
             tahulah ia dunia mudarat.


5) SELOKA

Menurut Harun Mat Piah, seloka berasal daripada kata 'sloka' dalam bahasa Sanskrit. Menurutnya, seloka mengandungi 16 suku kata dan berbentuk bebas. R.J Wilkinson pula menjelaskan seloka sebagai ucapan yang mengandungi sindirian dalam bentuk yang tidak tetap rimanya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, seloka ialah sejenis puisi yang mengandungi ajaran (sindiran, jenaka dan lain-lain). Bentuk puisi lama yang ditulis secara berangkap-berangkap, rima akhir tidak tetap, digubah sama ada mengikut bentuk pantun, syair ataupun perumpamaan dan tidak  mempunyai pembayang.

Contoh: Sudah bertudung terendak Bentan,
             Dengan siapa saya sesalkan,
             Sudah untung permintaan badan,
             Pagar siapa saya sesarkan.

6) TAMSIL

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Tamsil merupakan persamaan sebagai umpama (misal) atau misalan. Juga sebagai ajaran yang terkandung dalam sesuatu cerita, atau ibarat.

Contoh : 'keruh bumi ini umpama kelapa didalam air'