Tuesday, 20 March 2012

Sistem Pesanan Ringkas (SMS)

Pengaruh bahasa SMS atau Sistem Pesanan Ringkas amat membimbangkan semua pihak. Budaya ini bukan lagi suatu perkara yang baru, malah telah lama mempengaruhi budaya masyarakat kita. Namun, penggunaannya yang semakin meluas amat merungsingkan. Semua pihak sebenarnya menyedari bahawa penggunaan bahasa SMS memudaratkan bahasa Melayu itu sendiri, namun ramai yang menganggap perkara ini sesuatu yang remeh-temeh. Saya sendiri saban hari menerima pesanan ringkas daripada kawan-kawan hanya dengan menggunakan singkatan yang tertentu. Misalnya,

'kat ne jal?'
'Cett..ak pn nek n wan..kodri ad kn..'
"A'ah.y xthny..xnk dgr ckp ak.ak ckp dy clp send. dy kte xdeny clp3..

Monday, 19 March 2012

Hari Keluarga Bahasa Melayu

Semalam merupakan Hari Keluarga Persatuan Bahasa Melayu yang mana berlansungnya pelbagai acara yang diaturkan oleh pelajar Bahasa Melayu semester 4. Menarik antara acara yang ada antaranya berlari dalam guni,  pijak belon, bowling kelapa, futsal berkain, dan berbagai-bagai lagi. Disini yang menjadi topik saya ialah pada awal berlansungnya berlansungnya sukaneka tersebut. Pengawalan peserta dalam acara sebegini bagi seseorang yang mengetuai sukaneka itu perlulah lebih mahir dan bersikap terbuka. Sikap ramah dan mesra sudah tentu perlu ada dalam diri. Oleh yang demikian, pada awal acara tersebut telah diadakan sedikit senaman ringan bagi mengelakkan sebarang kecederaan dalaman. Masalahnya timbul apabila arahan yang diberikan tidak jelas dan sememangnya tidak dapat didengari oleh semua perserta kerana tidak menggunakan alat bantu pembesar suara.
Apabila hilang kawalan sedikit, pengerusi mula beremosi dan menggunakan kata-kata yang kurang disenangi dengan nada yang tinggi. Seperti yang dikatakan tadi, kita perlulah lebih mesra bersama peserta lain kerana semua yang terlibat itu hanyalah dari kalangan keluarga persatuan sendiri, PERBAYU dan yang terlibat juga ramai dari kalangan pelajar senior, perkara seperti itu harus dielakkan bagi menjaga keharmonian bersama. Mereka ini adalah pelajar Bahasa Melayu, Oleh itu kemahiran berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang sesuai perlu ditekankan.

Friday, 16 March 2012

Wanita, perempuan dan betina

Isu penggunaan istilah wanita dan perempuan sudah biasa bermain dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia ini. Kita sebagai insan yang berpendidikan haruslah menggunakan bahasa yang arasnya lebih tinggi berbanding golongan lain yang tidak berpendidikan. Oleh itu, jika ingin merujuk kepada seorang perempuan yang berjaya, kita patut gunakan istilah wanita agar ia lebih menggambarkan kedudukan tinggi yang ada padanya. perkara ini saya jumpai ketika sedang leka mengakses internet, saya terbaca satu artikel. Saya sangat setuju dengan kenyataan ini kerana sebelum ini saya sering mendengar istilah perempuan jalang, perempuan sundal dan pelbagai lagi istilah buruk yang dikaitkan dengan perkataan perempuan. Saya juga teringat istilah perempuan ini disebut dengan istilah betina oleh orang Kelantan.

Sebagai contoh : mu ore tino ko jate paka supo gitu? malu ke ore la.

Thursday, 15 March 2012

Wayer dan Getah Paip

Dialek bagi setiap negeri di Malaysia berbeza-beza, terdapat beberapa buah negeri yang ketara perbezaan bahasa mereka sama ada dari segi sebutan, perkataan dan makna. Bagi saya lebih-lebih lagi untuk negeri Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Kedah. Telah beberapa kali saya lalui situasi yang membuatkan saya terdiam dan memikirkan sebentar tentang 'apakah yang disebutkan budak ni tadi?'. Antaranya ialah:

Rakan:         Pejal! semalam guna tandas wayer jatuh biar je eh. Aku yang amik dalam lubang tandas tu.
Saya(pejal): Wayer? ada wayar ke dalam tandas tu?
Rakan:         Getah paip lah.
Saya:           Oh, macam itu pun ada.

Wednesday, 14 March 2012

Biokrasi ke birokrasi


Semasa proses kempen pilihan raya kampus UPSI yang lepas, terdapat beberapa situasi bahasa yang berlaku dan masih saya ingat. Pada hari kempen dan rapat umum yang pertama, dapat di lihat beberapa calon dan wakil calon begitu lantang memperkenalkan diri dan mengutarakan kepincangan yang berlaku di antara kedua-dua belah pihak yang bertanding. Terdapat pelbagai kesalahan bahasa yang dilakukan daripada calon dan wakil calon antaranya seperti penggunaan struktur ayat yang tunggang langgang dan ada juga yang menggunakan istilah yang salah. Salah satu kesalahan yang dapat saya rakam ialah penggunaan istilah ‘biokrasi’. Sebenarnya calon tersebut ingin memperkatakan tentang karenah birokrasi di pihak pentadbiran UPSI yang banyak menyusahkan pelajar. Pada masa tersebut, saya juga telah mendengar perbualan dua orang mahasiswa yang kebetulan ada di hadapan saya.
Pelajar A : wei, biokrasi ke birokrasi?
Pelajar B : haha aku rasa dia ni budak biologi kot. Semua dia nak bantai bio. Sampai birokrasipun jadi  biokrasi.

Tuesday, 13 March 2012

Kasut vs Selipar

Situasi ini pertama kali berlaku ketika saya hendak pulang ke kampung. Pada masa ini saya sedang menuruni tangga bersama rakan yang kebetulannya hendak keluar juga mencari makanan.

Rakan:         Pejal, hang balik tak bawak kasut ka?
Saya(pejal): Bawak la, ni yang aku pakai ni bukan kasut ke
Rakan:         Yang hang nak pakai kat rumah, keluar dekat-dekat takkan nak pakai yang tu.
Saya:           Kalau kat rumah aku pakai selipar je lah. Kasut aku pakai kalau nak keluar jauh-jauh je.
Rakan:         Hak tu la yang aku kata. tak bawak?
Saya:           Ada dalam beg. Nanti kejap, tadi bukan kau kata kasut ke?
Rakan:         Sama la tu.
Saya:           Eh? kasut lain la, selipar lain.
Rakan:         Tempat aku panggil sama ja.

Monday, 12 March 2012

Situasi di Kuala Lumpur

Kelmarin, iaitu pada hari ahad saya dan lima orang rakan keluar ke Kuala Lumpur untuk membeli belah sambil membawa mereka bersiar-siar mengenali bandar ibu kota itu. Memandangkan saya menetap di Selangor jadi saya tahu serba sedikit akan selok-belok jalan disana. Semasa kami berada di KL Sentral untuk membeli tiket supaya dapat menukar haluan ke Jalan Hang Tuah, dua orang rakan saya telah mengalami satu situasi yang kurang menyenangkan. Mereka berdua menunggu diluar sementara kami sedang mendapatkan tiket di kaunter berkenaan. Sedang mereka berdiri menunggu kehadiran kami, tiba-tiba datang seorang lelaki yang kelihatannya seperti seorang pemandu teksi menghampiri lalu meminta sebatang rokok kepada rakan saya, tanpa ada budi bahasa yang sesuai untuk menegur orang lain, tambahnya lagi lelaki tersebut mengatakan kedua rakan saya ini pendatang asing berbangsa 'Madura'. Dalam keadaan yang penuh kesal dan sedih melihat segelintir masyarakat Kuala Lumpur yang cetek budi bahasa ini kedua-duanya kemudian menceritakan kepada kami akan keadaan tersebut. Jika difikirkan semula pemandu teksi tersebut bukanlah remaja tetapi lebih tua usianya berbanding kami. Sekurang-kurangnya adab ketika hendak menyapa atau ingin memulakan komunikasi terhadap orang yang tidak dikenali mestilah diketahuinya walaupun sedikit.